Keratan Akhbar Utusan bertarikh 7/10/2010.
GANGGUAN SEKSUAL
Oleh
FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN
![]() |
Kes gangguan seksual di tempat kerja perlu
dilaporkan sama ada kepada pegawai atasan atau polis bagi memastikan pesalah
dikenakan tindakan sewajarnya. - Gambar hiasan
|
Jika anda menganggap gangguan seksual di tempat kerja hanya wujud apabila pelaku menggunakan teknik sentuhan dan percakapan terhadap mangsanya, anda silap.
Kebanyakan orang tidak memahami secara tepat atau menyeluruh apa
yang dimaksudkan dengan istilah gangguan seksual di tempat kerja.
Tidak keterlaluan dikatakan, ada individu yang menganggap gangguan
seksual di tempat kerja hanya membabitkan mangsa wanita. Tetapi sebenarnya ia
turut menyerang lelaki.
Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual Di Tempat
Kerja menerangkan, gangguan seksual adalah sebarang perlakuan berunsur seksual
yang tidak diingini penerima atau mangsa.
Dikeluarkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), kod
amalan itu turut menggariskan bahawa gangguan seksual boleh dibahagikan kepada
dua kategori iaitu berbentuk ugutan seks dan ancaman seks.
Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanan JTKSM Putrajaya, Johana Bakar
berkata, berdasarkan kod amalan yang ada, gangguan seksual berbentuk ugutan
seks bermaksud apabila seseorang pegawai atasan yang mempunyai kuasa menentukan
gaji dan pangkat misalnya, cuba
mengugut pekerja bawahan supaya memberi layanan seksual kepadanya.
Katanya, pekerja itu perlu mengikut jika ingin memperoleh faedah
berkaitan kerja dan jika menolak ugutan berkenaan, faedah akan dinafikan.
Manakala gangguan seksual berbentuk ancaman adalah apabila tingkah
laku yang ditunjukkan pelaku dilihat mangsa sebagai ancaman, ugutan atau
penghinaan tetapi ia tiada kaitan langsung dengan faedah pekerjaan.
Bagaimanapun, tingkah laku itu menimbulkan suasana yang tidak
tenteram kepada mangsa untuk terus bekerja.
Gangguan seksual di tempat kerja juga bukan hanya berlaku dalam
pejabat atau organisasi, malah ia turut membabitkan gangguan seksual di luar
tempat kerja yang wujud daripada hubungan dan tanggungjawab berkaitan
pekerjaan.
Misalnya melalui majlis-majlis sosial berhubung pekerjaan,
menjalankan tugas di luar tempat kerja, persidangan atau latihan berkaitan
pekerjaan, ketika dalam perjalanan berkaitan tugasan, telefon dan media
elektronik.
Ingin ditekankan di sini, gangguan seksual itu sendiri bermakna
tingkah laku seksual yang tidak diingini dan tidak disenangi mangsa serta tanpa
diminta atau dibalas balik mangsa, katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di gerai pameran dan
maklumat JTKSM pada sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2010 di Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, baru-baru ini.
Menurut Johana, gangguan seksual merangkumi bermacam-macam tingkah
laku seksual yang boleh dibahagikan kepada lima jenis.
Ujarnya, satu daripadanya adalah gangguan secara lisan yang mana
pelaku menggunakan kata-kata, komen, gurauan, usikan, bunyi dan soalan
berbentuk ancaman atau cadangan seksual.
Jelasnya, gangguan seksual jenis bukan lisan pula wujud apabila
pelaku memandang atau mengerling yang membayangkan niat, menjilat bibir,
memegang sesuatu secara menggoda, membuat isyarat tangan, menggunakan bahasa
isyarat yang menunjukkan perlakuan seks atau tingkah laku mengurat yang
berterusan.
Bagi gangguan seksual jenis visual, katanya, pelaku menunjukkan
bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berunsur seksual, menayangkan bahagian
sulit badan yang tidak sepatutnya didedahkan dan sebagainya.
Selain itu, ujarnya, jika pelaku mengulangi jemputan sosial yang
telah ditolak, memujuk rayu berterusan untuk keluar bersama atau ingin
bercumbuan, ia digelar gangguan seksual psikologi.
Tambahnya, bagi gangguan seksual jenis fizikal, pelaku akan
menggunakan cara sentuhan seperti memegang, menepuk, mencubit, mengusap,
menggesel badan, memeluk, mencium atau serangan seksual tanpa kerelaan mangsa.
Johana berkata, kes gangguan seksual di tempat kerja perlu
dilaporkan sama ada kepada pegawai atasan, polis atau kementerian bagi
memastikan pesalah dikenakan tindakan sewajarnya.
Laporan itu juga perlu dibuat bagi mengekang masalah sosial itu
daripada terus melarat di kalangan masyarakat sehingga menimbulkan suasana
tidak selamat sepanjang berada di tempat kerja atau menjalankan urusan pejabat.
Namun, kebanyakan mangsa enggan melaporkan gangguan yang diterima
kerana malu, tiada tempat mengadu, bimbang disindir atau takut diberhentikan
kerja.
Di Malaysia, mangsa kes ini menghadapi masalah membuat laporan
kerana tiada prosedur jelas untuk dijadikan panduan bagaimana dan di mana untuk
mengadu.
Maka, saya menggesa mangsa membuat laporan kepada polis, majikan
atau kementerian dan mendapatkan maklumat lengkap berhubung gangguan seksual
termasuk di tempat kerja melalui laman web kementerian atau maklumat di
Internet supaya tidak terus ditindas, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan