Elak jadi mangsa gangguan seksual
joybrunolim@yahoo.com
GANGGUAN seksual boleh berlaku di mana-mana sahaja dan satu fenomena
negatif yang boleh terjadi ke atas sesiapa sahaja tanpa mengira usia dan
jantina.
Ia adalah perlakuan yang tidak disenangi dan tidak direlakan oleh
mangsa, berlaku tanpa disedari kerana ada ketikanya situasi tersebut
berlaku secara spontan, yang pasti mangsa rata-rata adalah wanita yang
bekerjaya.
Bentuk gangguan seksual bukan setakat secara fizikal saja tetapi juga
merangkumi gangguan berbentuk isyarat, lisan, psikologi atau visual.
Untuk menangani dan membendung masalah sosial ini dari terus
berleluasa, berbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan mahupun
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sehingga akhirnya Kod Amalan Pencegahan
dan Pembasmian Gangguan Seksual Di Tempat Kerja diwujudkan pada 17 ogos
1999 oleh Kementerian Sumber Manusia sebagai panduan untuk mencegah
gangguan di tempat kerja.
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah, Datuk Hajja Siti Aishah
Bte Haji Ashri mendedahkan pada 2011, empat aduan telah dilaporkan
sementara tahun lalu dua aduan diterima oleh jabatan itu.
Daripada statistik, Kod Amalan ini tidak dinafikan banyak membantu
dari segi kesedaran di peringkat majikan sejak ia dilancarkan.
Namun aduan yang diterima ini hanya mewakili sebahagian kecil sahaja
daripada jumlah sebenar kerana masih ada yang lagi tidak tampil membuat
aduan.
Mungkinkah kerana malu, takut atau tidak yakin dengan prosedur sedia ada?
Walaupun Akta untuk mendakwa pihak terbabit setakat ini belum lagi
terlaksana tetapi terdapat undang-undang sedia ada yang boleh digunakan
untuk mensabitkan pelaku.
“Memang benar pada masa ini belum ada satu akta yang dikhususkan berkenaan dengan gangguan seksual di tempat kerja digubal.
“Memang benar pada masa ini belum ada satu akta yang dikhususkan berkenaan dengan gangguan seksual di tempat kerja digubal.
“Bagaimanapun, peruntukan berhubung gangguan seksual telah
diperuntukkan dalam beberapa perundangan lain, termasuk Akta Kerja 1955
(yang hanya terpakai di Semenanjung Malaysia),” kata Siti Aishah.
Katanya, dengan mengeluarkan perkataan atau memberi isyarat yang
dimaksudkan saja pun boleh menyebabkan mereka yang terbabit dikenakan
hukuman di bawah Seksyen 509 Kanun keseksaan, dijatuhi hukuman penjara
hingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
“Setakat ini kebanyakan aduan yang diterima adalah melibatkan pengadu
daripada kalangan wanita, tetapi ada juga aduan daripada lelaki yang
berperwatakan wanita.
“Sebenarnya cara penampilan mangsa, dari segi pakaian mahupun
perwatakan adalah salah satu faktor yang boleh menyebabkan mangsa
diganggu.
“Bagaimanapun tidak dinafikan ada faktor lain yang mungkin menyumbang
kepada permasalahan ini, termasuk cepat memberi kepercayaan kepada
penganggu.
“Bagi mengelakkan gangguan berulang, mangsa perlu mengambil tindakan
undang-undang, tindakan ini bukan sahaja boleh memberikan keadilan
kepada pengadu tetapi juga boleh menjadi contoh dan galakan kepada
mangsa gangguan seksual lain untuk mengambil tindakan sama dan sekaligus
menghalang daripada berleluasanya kes gangguan sebegini,” ujar Siti
Aishah kepada Bicara Hawa.
Menurutnya, walaupun setakat ini jumlah aduan diterima oleh JTK
adalah kecil, namun pihak Jabatan memandang serius akan perkara ini dan
sedar akan perlunya perkara ini diperuntukkan secara khusus dalam
perundangan perburuhan sedia ada.
Pekerja yang menjadi mangsa biasanya akan hilang minat bekerja atau
tidak produktif dalam melakukan kerja selain sering mengasingkan diri
kerana sentiasa takut dan tertekan,.
Pegawai tadbir di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Noreentan Zainih,
25, mengesyorkan agar setiap kesalahan dilaporkan kepada yang berwajib
kemudian diadakan program kesedaran dan penerangan, ini untuk memupuk
sikap saling menghormati sesama rakan, selain lebih disiplin dalam
pergaulan.
“Ia berguna untuk kestabilan organisasi itu sendiri, selain dapat
meningkatkan produktiviti dan keselesaan pekerja dalam menjalankan kerja
harian mereka,” kata Noreen .
Seorang suri rumah Penny Peter, 32, pula berpendapat etika bekerja
juga harus dititikberatkan bukan saja kepada pekerja wanita malahan juga
lelaki.
“Kita tidak boleh menuding jari kepada kaum lelaki saja sebagai
penganggu kerana ada ketikanya wanita juga menjadi punca mereka
diganggu, contoh paling ketara cara mereka berpakaian, ada yang memakai
pakaian yang menjolok mata.
“Bukankah ini secara tidak langsung mengundang musibah kepada diri
sendiri?. Selain itu, pertuturan juga harus dijaga agar tidak lepas
cakap serta membataskan pergaulan,” kata Penny.
Menurut Penny lagi, bagi mangsa gangguan, amat perlu aduan dibuat
kepada pihak atasan tempat bekerja agar perkara sama tidak berlaku lagi,
disusuli dengan tindakan disiplin, ia untuk mengelak daripada terjadi
kepada orang lain pula.
Pelajar Universiti perlu diberi pendedahan
Win Khalid, 25, seorang graduan universiti tempatan, berpendapat
seharusnya wanita masa kini diberi pendedahan terhadap isu seperti ini
yang bertujuan agar mereka bersedia menghadapi suasana bekerja dengan
lebih aman dan berhati-hati.
“Bercakap tentang pelajar Universiti, sebelum mereka menempuh bidang
pekerjaan, mereka akan didedahkan atau diberi tunjuk ajar sebagai
persediaan untuk temuduga, tetapi adalah ada baiknya jika pengetahuan
berkaitan gangguan seksual ditempat kerja ini turut didedahkan kepada
pelajar-pelajar wanita.
“Ia sebagai persediaan awal kepada mereka dari segi mental dan
fizikal, kerana gangguan seksual ini berlaku tidak kira sama ada kepada
pekerja bawahan atau atasan. Yang pasti hanya wanita yang tahu hak
mereka sahaja yang akan mengambil tindakan namun tidak semua wanita
berani bersuara,” kata Win.
Hamidah Abd Hamid, 35, dari Tg Aru, seorang ibu tunggal, merasakan betapa perlunya sikap menghormati sesama rakan sekerja.
“Saya mempunyai anak yang masih bersekolah dan bekerja sambilan
setiap kali cuti sekolah. Saya selalu menekankan sikap berdisiplin dan
menghormati orang lain dalam dirinya.
“Dan jika perkara sedemikian berlaku pada dirinya, saya akan
memastikan anak saya membuat laporan kepada pihak atasan dan meminta dia
menjauhkan diri daripada penganggu tersebut.
“Selain itu saya sendiri akan memberi amaran kepada penganggu itu
agar tidak mengulangi perbuatannya jika tidak mahu tindakan lebih lanjut
dibuat terhadapnya,” kata Hamidah.
Wanita harus tahu hak sendiri, selain itu setiap orang perlu diajar
menghormati hak individu lain, ia bagi mewujudkan kesedaran dalam diri
setiap orang sekaligus dapat mengelak dan menangani masalah gangguan
seksual ini daripada terus berleluasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan