Etika terlalu banyak diberikan oleh pelbagai pihak dari semasa ke semasa. Istilah etika berasal dari perkataan Greek 'ethos', yang bermaksud khusus kepada 'character', ataupun perwatakan dan keperibadian.
Gluck (1986 : 176) telah mendifinasikan etika
sebagai, " kajian filosofikal terhadap moraliti". Shea (1988 : 17) pula
mendefinasikan etika sebagai "prinsip-prinsip bertingkahlaku yang
mengawal individu atau profesyen" dan sebagai "satu standard tingkahlaku
".
Manakala istilah etika dikalangan teknokrat merujuk kepada kajian-kajian mengenai isu-isu 'standard moral' yang melibatkan para teknokrat yang boleh membantu meningkatkan integriti profesyen mereka.
Etika kerja dapat disimpulkan sebagai panduan
tingkahlaku yang diikuti oleh manusia yang mempunyai kaitan rapat dengan
kehidupan, khususnya dikalangan yang meminggirkan agama di dalam
kehidupan mereka. Tidak mengira negara, bangsa dan agama telah
menekankan norma moral yang berlandaskan ketinggian akhlak mereka yang
mengamalkannya.
Dalam masyarakat moden sekarang ini norma keagamaan
semakin ditinggalkan dan masyarakat lebih menuju kepada kemajuan
material untuk mencapai kesenangan hidup. Sumber-sumber moral kini
datang dari set etika yang dihasilkan oleh ketentuan akal manusia dan
pengkajian terhadap kehidupan manusia.
Hubungan etika kerja profeesional dengan kehidupan
manusia digunakan untuk mengawal tingkahlaku ahli professional dalam
bentuk menyuruh melakukannya dan meninggalkan perkara yang mendatangkan
kesalahan samaada di sisi undang-undang negara mahupun statusnya sebagai
professional. Oleh itu, etika kerja professional merupakan satu
landasan kepada masyarakat yang membolehkan teknokrat mengawal
tingkahlakunya sendiri serta membolehkan masyarakat sosial mengawasi dan
menilai setiap tindak tanduk mereka dari semasa ke semasa.
Etika seharusnya dipelajari dan diamalkan dalam
kehidupan seharian kita. - dalam apa jua tindak tanduk. Keberkesanan
prinsip etika terletak pada individu itu sendiri. Tanpa disiplin diri
dan kekuatan mental yang tinggi seseorang itu tidak dapat mencapai tahap
etika yang dikehendaki. Secara kesimpulannya dapatlah kita simpulkan
bahawa etika itu wujud dalam diri seseorang itu dengan adanya disiplin
dan kekuatan diri individu itu sendiri.
Fungsi Kod Etika Professional
Kod etika professional adalah salah satu 'alat
kawalan' sosial yang digunakan sebagai salah satu panduan dalam
mendisiplinkan diri kearah yang lebih beretika. Secara datarnya kod
etika ini berfungsi sebagai :
- Inspirasi dan panduan
- Pencegahan Dan Disiplin
- Memelihara Maruah Profesyen
- Memelihara Keharmonian
- Sokongan
Kod etika professional telah mengelaskan pelbagai
tingkahlaku yang patut diamalkan dalam sesebuah organisasi atau jabatan
tersebut. Kod ini juga boleh dianggap sebagai landasan dalam menjalankan
pelbagai kerja dengan lebih teratur dan lebih baik.
Dengan panduan dan peraturan amalan-amalan kerja, kod
etika boleh memandu dan mengingatkan ahli-ahli professional mengenai
keputusan yang perlu diambil dan tingkahlaku yang sepatutnya apabila
berada di dalam sesuatu keadaan.
Kod-kod etika digunakan khususnya oleh badan-badan
professional sebagai asas untuk menyiasat sebarang penyelewengan
ahli-ahlinya apabila terdapat sebarang aduan diterima. Aduan-aduan ini
akan dapat mengurangkan penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang berkuasa
dan berpangkat serta mempunyai kedudukan tertentu dalam sesbuah
organisasi atau jabatan. Selain itu ia juga dapat mengelakkan penggunaan
maklumat-maklumat rahsia syarikat atau jabatan untuk kepentingan diri
sendir.i.
Kod-kod etika memberi satu gambaran kepada semua
pihak tentang imej positif setiap profesyen kerana setiap ahli terikat
dengan satu standard etika yang tinggi. Etika merupakan satu panduan
kepada professional untuk membina, meningkat dan mempertahankan
integriti, kejujuran dan maruah profesyen masing-masing.
Ini secara umumnya, setiap kod etika professional
menjelaskan bahawa setiap ahlinya perlu menggunakan segala ilmu
pengetahuan yang dimilikinya untuk meningkatkan kesejahteraan manusia
seluruhnya, jujur kepada diri sendiri, majikan, masyarakat dan
pelanggannya serta sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan
untuk terus memberi perkhidmatan yang lebih cemerlang dari semasa
kesemasa.
Kod etika menggariskan standard
tingkahlaku yang harus dipatuhi dan diamalkan sepenuhnya supaya
kepentingan semua pihak terpelihara. Ini dapat mengelakkan daripada
berlakunya pertembungan di antara kepentingan diri dan kepentingan umum.
Ini akhirnya menyebabkan pelbagai konflik dan rasa tidak puashati
dikalangan pihak yang berkaitan. Setiap ahli professional dalam bidang
masing-masing perlu mengiktiraf kehidupan, keselamatan, kesihatan dan
kebajikan setiap anggota masyarakatnya
Jika seseorang teknokrat didakwa atau diragui
oleh pihak lain tentang apa yang dilakukan, maka dia boleh menggunakan
kod etika untuk menyokong tindakannya dalam memberi sokongan akan apa
yang telah dilakukan. Hendaklah ahli teknokrat tersebut yakin akan
pekerjaan yang telah beliau lakukan tidak salah disisi undang-undang dan
agama serta etika organisasi atau jabatan.
Para professional hendaklah menolak sebarang arahan majikan yang bertentangan dengan etika professional syarikat berkenaan.
Ringkasnya, etika professional adalah untuk memberi
inspirasi, galakan dan sokongan kepada pengguna-pengguna teknologi dalam
bidang kepakaran masing-masing. Etika professional lebih menumpukan
kepada dimensi perlakuan yang positif sebagai panduan tingkahlaku yang
paling sesuai untuk diamalkan oleh seseorang professional.
Semua etika professional yang diguna pakai diseluruh
dunia dalam bidang-bidang seperti perubatan, guaman, perniagaan,
perakuanan dan kejuruteraan mempunyai asas-asas etika yang sama. Ini
kerana tujuan etika dibentuk adalah digunakan untuk diri dan masyarakat
amnya.
Amalan Tidak Beretika Dikalangan Profesional
Ahli-ahli profesional dalam tugas-tugas seharian
mereka berurusan dengan pelbagai pihak. Tidak kira dengan siapa mereka
berurusan, ianya mempunyai implikasi undang-undang yang luas.
Namun begitu dari semasa ke semasa, pelbagai jenayah
kolar putih yang melibatkan ahli profesional telah diketengahkan Ini
menggambarkan perbuatan-perbuatan yang tidak beretika di kalangan para
ahli profesional.
Kebanyakan daripada mereka ini beranggapan bahwa
etika adalah semata-mata untuk menyekat serta mengongkong kehidupan
mereka. Mungkin pada masa sekarang ini ramai yang beranggapan bahawa
tidak perlu lagi etika dalam kerja mereka kerana ianya akan menghadkan
'pergerakan' mereka dalam organisasi tersebut. Di bawah ini adalah
sebahagian contoh perbuatan tidak beretika tersebut:
- Salah Guna Kuasa
- Rasuah
- Penipuan
Dewasa ini, banyak kes yang kita dengar berhubung
dengan salah guna kuasa oleh sesetengah pihak. Jenayah ini berlaku demi
menjaga nama dan maruah seseorang itu dari dikenakan tindakan
undang-undang daripada jenayah yang telah dilakukan.
Kuasa dan pangkat juga digunakan untuk menjatuhkan
seseorang. Ianya juga digunakan untuk menipu dan memberi rasuah. Jikalau
dilihat dari segi agama ia secara terang ditentang kerana ianya
dianggap tidak bermoral dan tidak berlaku adil kepada mereka lain.
Mereka yang terlibat dalam penyalah gunaan kuasa dianggap sebagai
mementingkan diri sendiri dan mengetepikan norma-norma masyarakat.
Mereka juga menggunakan kuasa untuk menyalah gunakan maklumat untuk
tujuan memberi keuntungan kepada keluarga dan rakan-rakan dalam
pemberian kontrak atau dalam menguruskan pinjaman atau subsidi.
Rasuah boleh ditafsirkan sebagai "ganjaran atau
imbuhan yang diperoleh hasil daripada melakukan sesuatu kerja yang tidak
sepatutnya dilakukan". Rasuah bukan sahaja boleh diberi atau diterima
dalam bentuk wang ringgit tetapi juga dalam bentuk meterial.
Rasuah adalah satu jenayah kolar putih paling tinggi
di Malaysia. Sungguhpun begitu hukuman yang dikenakan pada masa sekarang
bagi mereka yang telah melakukan jenayah ini adalah tidak releven. Ini
kerana jumlah denda yang diekenakan adalah amat kurang daripada jumlah
nilai barangan atau bahan yang dirasuah.
Jikalau dilihat dari segi agama, ia dianggap berdoasa
dan amat berat hukumannya. Hukuman ini bukan sahaja kepada penerima
tetapi kepada pemberi dan juga saksi-saksinya kerana mereka ini
bersekongkol dalam melakukan jenayah tersebut.
Kegiatan seperti ini akan memberi implikasi dan
tanggapan buruk oleh masyarakat akan profesion seorang profesional yang
dikira beretika dalam semua hal.
Impak ini juga akan dirasai oleh masyarakat
keseluruhannya. Jenayah ini akan meningkatkan kos barangan dan
perkhidmatan yang akhirnya memberi kesan kepada pengguna. Bukan itu
sahaja, rasuah juga akan menyebabkan barangan dan perkhidmatan yang
dipasarkan tidak memenuhi spesifikasi atau mutu yang sepatutnya. Ini
sekaligus menghapuskan persaingan terbuka dan sihat.
Persaingan terbuka ini amat penting dalam sistem
ekonomi bebas kerana ianya akan meningkatkan kualiti barangan dan
perkhidmatan, sedangkan amalan rasuah tidak mengambil kira aspek kualiti
asalkan barangannya dibeli atau pun projeknya diluluskan.
Gejala rasuah juga menimbulkan rasa tidak senang hati
pada sesetengah pihak kepada pihak lain kerana mereka percaya bahawa
mereka tidak mendapat layanan yang adil dalam sesuatu urusan yang telah
dijalankan
Namun demikian, di sesetengah buah negara, amalan ini
'diterima' oleh masyarakat walaupun ianya terang-terang salah di sisi
undang-undang. Ini mungkin disebabkan pendapatan bulanan yang rendah
seperti di Thailand, India, Indonesia dan Amerika Latin. Banyak faktor
yang menyokong jenayah ini 'diterima' di negara-negara ini. Diantaranya
termasuklah kesempitan hidup, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDK) yang
rendah
Pada keadaan sekarang penipuan boleh dianggap
sebgai suatu perkara yang biasa di'amal'kan oleh mana-mana pihak sama
ada profesinal ataupun tidak. Penipuan biasa berlaku secara senyap dan
tidak dapat dikesan. Ianya berlaku dalam keadaan sedar dan mereka yang
bersekongkol dalam penipuan tersebut dan mereka tahu akan kesalahan yang
telah mereka lakukan.
Penipuan mempunyai pelbagai tujuan. Peniouan
dilakukan untuk menyembunyikan kesalahan yang telah dilakukan dari
pengetahuan umum. Terdapat pelbagai penipuan boleh dilakukan dan
antaranya adalah pemalsuan dokumen dan maklumat, pengeliruan dan
pemalsuan pengiklanan dan lain-lain. Yang biasa kita lihat adalah
penipuan dalam pengiklanan barangan dan rumah kediaman. Penipuan boleh
dikaitkan dengan perbuatan-perbuatan sepertiman yang telah diterangkan
pada (a dan b) di atas.
Penipuan merendahkan integriti dan maruah seseorang
itu di martabat masyarakat. Ini akan menghakis kepercayaan rakyat kepada
mereka yang terlibat.
Golongan profesional adalah golongan yang lebih
banyak terdedah dengan perlakuan tidak beretika atau jenayah kolar
putih. Ini kerana mereka terlibat dengan pelbagai keadaan dan orang
pelbagai peringkat dan pangkat. Secara realitinya lebih tinggi pangkat
dan jawatan disandang, maka lebih banyaklah cabaran dan dugaan yang
perlu mereka hadapi.
Tindakan pertama melangkah batas-batas etika akan
membawa diri seseorang itu terus terjebak dalam kancah yang tidak
beretika dan amat sukar sekali apabila seseorang itu telah mula terlibat
dengan etika yang tidak bermoral ini ingin keluar daripada apa yang
telah 'biasa' mereka lakukan.
Kesimpulannya, walaupun seorang profesional itu
terikat dengan undang-undang dan kod etika profesional, masih ramai di
antara mereka yang melakukan amalan yang tidak sihat ini. Pbuatan ini
mungkin disebabkan masih ramia diantara mereka yang memikirkan etika
sebagai malaikat yang mengawal segala tindak tanduk mereka dalam semua hal.
Persekitaran juga turut mempengaruhi tindakan
seseorang itu untuk melakukan perkara-perkara yang tidak beretika. Ini
dilakukan demi menjaga reputasi dan periuk nasi mereka - walaupun mereka
mengetahui apa yang mereka lakukan adalah salah disisi undang-undang.
Perbuatan-perbuatan yang tidak beretika adalah ibarat
penyakit barah yang sekiranya tidak dirawat akan memudaratkan seluruh
anggota badan sehingga menyusahkan orang. Penyakit ini hanya dapat
diubati dengan perlaksanaan undang-undang yang ketat. Dalam erti kata
lain, pelaksana undang-undang juga tidak boleh bersekongkol dengan
mereka dan tindakan undang-undang yang dikenakan haruslah tidak 'memilih
bulu'.
Selain perlaksanaan undang-undang, kesedaran individu
itu adalah sangat penting kerana ianya dianggap sebagai perisai utama
diri dari melakukan perkara-perkara yang tidak beretika. Namun begitu,
apa pun penyelewengan yang mereka lakukan adalah salah dan bertentangan
dengan agama, kod etika profesional dan undang-undang serta norma-norma
masyarakat amnya.
TERAS ETIKA KERJA PROFESSIONAL
Ciri-ciri yang dinyatakan berikut wajar dijadikan panduan yang dianggap sebagai teras "Etika Kerja Professional".
- Cemerlang Seorang yang bekerja dengan cemerlang tidak akan bekerja dengan sambil lewa. Kerja dan tugas sehariannya tidak akan dianggap sebagai satu bebanan atau sebagai satu rutin yang membosankan. Kerja yang perlu dilaksanakannya akan dilakukannya dengan bersungguh-sungguh, tidak sekadar "melepaskan batuk di tangga". Prestasi kerjanya akan sentiasa tinggi. Jika dia menemui kesulitan semasa melaksanakan tugasnya, dia akan terus berusaha mencari jalan mengatasi atau menyelesaikan masalah itu. Dia tidak mudah patah hati atau mengaku kalah. Untuk mencapai tahap kecemerlangan, seorang pekerja itu mesti ada disiplin diri. Mereka yang mempunyai displin diri boleh bekerja dengan baik dalam semua keadaan.
- Sikap Berinisiatf Pekerja yang mempunyai sikap berinisiatif adalah mereka yang melakukan usaha atau sesuatu sebelum dipaksa oleh keadaan atau diarah melakukannya. Sesuatu kerja itu perlu dilakukan dengan tekun dan teliti untuk mengelakkan berlakunya kesilapan. Kesilapan dalam melakukan pekerjaan memanglah boleh dimaafkan tetapi jika dilakukan berulang kali akan menimbulkan masalah kepada diri sendiri dan orang lain. Setiap pekerja mempunyai kebolehan tersendiri dalam bidang-bidang yang mereka ceburi. Oleh itu mereka yang beretika dalam kerjanya akan sentiasa giat berusaha untuk mengembangkan syarikat di mana mereka bekerja. Contohnya dalam bidang perniagaan pekerja akan berusaha untuk mengembangkan perniagaan syarikat dalam bidang-bidang baru seperti keluaran atau perkhidmatan yang baru.
- Niat Orang yang tidak mempunyai niat yang betul semasa bekerja tidak akan bekerja dengan baik. Orang itu tidak akan mempunyai komitmen terhadap kerja yang dilakukannya. Ramai orang yang bekerja tetapi tidak faham atau mengerti kenapa mereka bekerja selain daripada ingin menyara hidup. Contohnya, dua orang yang memberi derma kepada fakir miskin. Seorang menderma kerana Allah semata-mata, manakala seorang lagi menderma kerana mahukan pujian dan nama sebagai seorang dermawan. Dari segi lahiriah, kedua-dua mereka itu sama sahaja iaitu memberi bantuan kepada fakir miskin, tetapi nilai murni dan akhlak orang yang pertama lebih tinggi daripada orang yang kedua.
- Bertanggungjawab Terhadap Masyarakat Etika kerja profesional turut menekankan tanggungjawab terhadap masyarakat. Tidak wajar mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan akibat pekerjaan tersebut kepada masyarakat dan alam sekitar. Sebagai contoh, sesebuah syarikat pemaju perumahan tidak wajar menggondolkan suatu kawasan hutan dengan sesuka hati demi apa yang dikatakan sebagai pembangunan. Perbuatan tersebut bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah juga sumber pendapatan penduduk setempat. Tanggungjawab terhadap masyarakat amat penting kerana banyak projek-projek dewasa ini hampir melupakan faktor-faktor yang memberi kesan kepada masyarakat. Peranan ahli-ahli teknokrat amat penting dalam menekankan etika tanggungjawab mereka kepada masyarakat.
- Amanah Dalam Kerja Sifat amanah adalah teras keharmonian dan kejayaan sesebuah institusi masyarakat atau pekerjaan; sebuah syarikat misalnya. Bayangkan jika seseorang pekerja atau pegawai tidak mempunyai sifat amanah; segala urusan tidak akan berjalan sempurna dan membawa kepada kehancuran institusi atau syarikat tersebut. Sifat amanah dalam kerja yang telah diamanahkan tentunya akan menghasilkan nilai-nilai keperibadian seorang pekerja yang baik. Peranan ketua-ketua bahagian atau majikan amat penting dalam membanteras gejala tidak amanah dalam kerja. Pekerja-pekerja seharusnya patuh kepada arahan yang diberi dan melaksanakan tugas itu dengan baik. Sifat ini bukan hanya melanda pekerja biasa sahaja, malah tidak kurang juga majikan atau ketua sendiri yang mengamalkan sifat tidak amanah ini.
- Komited Terhadap Kerjaya. Kunci kejayaan seseorang individu ialah komited terhadap kerjaya yang diceburinya. Komited yang dimaksudkan di sini ialah menumpukan perhatian dan bersungguh-sungguh terhadap apa yang dilakukan. Sifat komited ini dapat menyumbang ke arah terhasilnya mutu kerja atau khidmat yang cemerlang. Kerja yang dilakukan mestilah sentiasa mencari peluang-peluang untuk meraih kecemerlangan dalam kerja. Pekerja akan sentiassa melihat da merebut peluang yang tercipta atau dicipta sendiri. Kata-kata hikmat dalam perniagaan yang sering dijadikan pegangan usahawan ternama iaitu, "Peluang mesti dicari, ianya tidak diberi". Ini merupakan faktor penting dalam mencapai kejayaan.
- Akhlak Akhlak merupakan teras pembentukan etika kerja professional. Akhlak mulia yang dimiliki oleh seseorang pekerja mahupun ketua menjadi lambang ketinggian peribadi dan kualiti individu terbabit. Apalah gunanya seorang yang berpendidikan tinggi dan kemudiannya menjawat pekerjaan yang bagus jika berakhlak buruk. Akhlak buruk di sini contohnya mengamalkan rasuah, dasar pilih kasih dalam kerja, dan tidak komited dalam kerja. Banyak contoh yang dapat kita lihat dalam pentadbiran negara kita sendiri di mana ahli-ahli politik yang mengamalkan rasuah dan tidak kurangnya juga yang menerima rasuah untuk meluluskan sesuatu projek. Malahan suatu gejala Poltik Wang pernah menggemparkan sebuah gergasi politik di negara kita.
- Jujur Di dalam pekerjaan, sifat jujur atau benar dapat membentuk hubungan yang sihat di antara sesama pekerja, pekerja dan majikan dan sesama pelanggan atau pun orang yang berurusan di dalam pekerjaan tersebut. Sifat jujur dan benar dapat membendung segala perasaan syak wasangka dan tipu daya atau pun dusta. Contoh tipu daya dalam pekerjaan ialah seorang peniaga yang suka menipu pelanggannya dengan tujuan melipatgandakan keuntungan.
- Bersyukur Bersyukur adalah susulan kepada kejayaan-kejayaan dan keuntungan yang diperoleh hasil sesuatu pekerjaan. Harus diingat bahawa keuntungan yang diperoleh adalah nikmat kurniaan Allah. Menjadi lumrah manusia, apabila ditimpa kesusahan mereka tabah menghadapinya dan keimanan mereka pada masa ini kuat sekali. Namun apabila memperoleh pangkat dan kesenangan, mereka lupa diri dan Tuhan. Inilah yang dinamakan ‘Kufur Nikmat’. Harus diingat bahawa Allah boleh menarik balik nikmat yang telah dikurniakan kepada hambaNya. Termasuk dalam golongan yang kufur nikmat ialah orang yang mengamalkan rasuah di dalam pekerjaan. Orang yang mengamalkan rasuah seolah-olah tidak bersyukur dan berasa cukup dengan apa yang dikurniakan oleh Allah. Rasuah dilakukan untuk mendapatkan sesuatu yang bukan haknya dan menguntungkan kedua-dua pihak (pemberi dan penerima rasuah) dengan cara yang mudah tetapi menyalahi undang-undang dalam bentuk imbuhan. Imbuhan rasuah pada masa kini berbentuk wang, saham, wanita cantik dan apa jua yang diatas nama sebagai hadiah. Amalan rasuah akan melumpuhkan ekonomi negara kerana yang kaya bertambah kaya manakala yang miskin semakin terbiar. Islam dengan tegas melarang perbuatan rasuah kerana ia tergolong dalam dosa-dosa besar.
- Pengurusan Masa Dalam menjalani pekerjaan, amat perlu dititikberatkan soal pengurusan masa kerana salah satu faktor kejayaan dalam pekerjaan adalah pengurusan masa yang berkesan. Pengurusan masa yang cekap dapat membantu meringankan beban tugas di samping memudahkan segala urusan kerja.
- Menilai Diri (Muhasabah)
Semasa bekerja kita telah diperuntukkan waktu rehat
yang secukupnya oleh majikan. Dalam masa yang agak singkat inilah kita
perlu bijak memanfaatkan masa untuk makan, sembahyang dan berehat.
Kadangkala kita terlalu asyik berbual-bual bersama rakan-rakan sekerja
sambil menikmati hidangan sehingga terlupa untuk menunaikan solat.
Walhal waktu rehat tersebut jika bijak diuruskan sudah semestinya amat
mencukupi untuk kita berehat dan beribadat dengan selesa.
Muhasabah bermaksud menilai diri, menghitung kebaikan dan keburukan yang telah kita lakukan. Kita perlu menghisap diri di waktu malam tentang apa yang telah kita lakukan sepanjang hari terutama dalam pekerjaan. Kita perlu menghisap diri di hujung minggu tentang apa yang telah kita laksanakan sepanjang minggu. Dan seterusnya kita perlu menghisap diri di akhir tahun untuk mempastikan apa sebenarnya yang telah kita lakukan (untuk diri kita, keluarga kita, bangsa kita, negara kita, agama kita) di sepanjang tahun.
Penilaian diri (self-evaluation) ini tidak
sama ertinya atau kurang bermakna jika seorang itu pada awalnya tidak
menggariskan, merancang atau menentukan apa yang ia hendak laksanakan
dalam tempoh tertentu.3 Begitu juga penilaian diri ini juga
bukan bermaksud agar kita menguji orang-orang lain dengannya, tetapi
agar kita menguji diri sendiri, dan setelah mengetahui kekurangan dalam
diri kita dan kesilapan strategi di dalam pekerjaan.
Muhasabah ini tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat
kepada bangsa dan negara melainkan seorang itu menyedari bahawa dia ada
peranan dan kewajipan sebagai anggota masyarakat. Jika muhasabah atau
penilaian semula itu hanya setakat mengukur kejayaan diri secara sempit,
tanpa mengambil kira sumbangan yang telah dapat dicurahkan kepada sanak
saudara, kepada masyarakat setempat, kepada bangsa dan negara, kepada
agamanya, ia belum lagi mencapai maksud sebenar.
Kesimpulan
Etika
kerja diwujudkan adalah untuk mengawal tingkahlaku para profesional
atau ahli teknokrat supaya mereka dapat menggunakan segala pengetahuan,
kepakaran dan kemahiran yang ada untuk kebaikan semua pihak. Untuk
mencapai tujuan ini tidaklah dinafikan bahawa etika kerja professional
memainkan peranan yang amat penting untuk menjadikan masyarakat yang
beretika dan berjaya.
Namun demikian, mekanisme untuk mengawal tingkahlaku
manusia perlu melangkaui etika professional. Ini kerana terdapat banyak
faktor yang boleh mempengaruhi dan menentukan tingkahlaku seseorang
individu dan keputusan yang dibuatnya. Oleh itu, faktor-faktor lain
seperti keperluan kehidupan, nilai-nilai hidup, penguatkuasaan
undang-undang, pendidikan agama, budaya kerja dan lain-lain perlu
diambil kira supaya mewujudkan satu persekitaran kehidupan yang sentiasa
mendorong seseorang individu melakukan sesuatu yang hanya mendatangkan
faedah dan kebaikan semua pihak.
Etika kerja professional bukanlah merupakan jalan
penyelesaian masalah yang kompleks, tetapi ianya tetap penting dan
mempunyai peranannya yang tersendiri untuk mengawal tingkahlaku para
professional. Etika kerja professional telah menentukan asas-asas
hubungan di antara para professional dengan masyarakat, majikan,
pelanggan dan rakan sekerja. Etika kerja professional telah wujud sejak
dahulu lagi sehingga ke hari ini masih dianggap penting dan berfaedah.
Sesiapapun tidak terkecuali daripada patuh kepada prinsip dan nilai
etika termasuklah para teknokrat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan